Alatan Anyaman Tikar

Utama Pewarnaan Corak Anyaman Tikar
     
Langkah Anyaman Tikar Contoh Kelarai Anyaman Bakul
     
   

ALATAN ANYAMAN TIKAR

            Penganyam harus mempunyai beberapa alat kelengkapan semasa proses penyediaan daun, pewarnaan dan anyaman. Alat-alat yang diperlukan ialah:

1.      Parang

·         Digunakan untuk memotong daun-daun pandan dan mengkuang dari pokoknya. Ia juga digunakan untuk memotong atau menetak bahagian pangkal dan hujung daun.

 

2.      Pisau

·         Pisau digunakan semasa proses anyaman. Anyaman yang telah disisip akan meninggalkan lebihan bilah daun dan lebihan itu akan dikerat sebagai langkah terakhir proses anyaman.

·         Sejenis pisau lagi yang diperbuat dari buluh sebagai pemegang dan sekeping besi nipis dihujungnya, digunakan untuk membuang duri di bahagian tulang belakang (mempulur) daun.

·         Tali sabut juga kadangkala digunakan untuk membuang mempulur daun. Tali sabut ini diikat menjadi bulat dan diletakkan di antara ibu jari dan jari telunjuk. Daun pandan dan mengkuang akan melalui di antara jari tersebut dengan kedudukan mempulurnya menghala ke atas.

 

3.      Jangka

·         Dikenali sebagai sisir kayu/ buluh bermata tajam. Tangkai jangka diperbuat dari buluh atau kayu. Bahagian kepala tangkai diletakkan dengan beberapa mata tajam. Jangka mempunyai beberapa saiz tertentu, ia bergantung pada jumlah serta jarak mata yang digunakan. Kedudukan mata yang rapat akan menghasilkan bilah daun yang kecil dan sebaliknya.

·         Jangka digunakan untuk mencarik atau memotong daun pandan dan mengkuang menjadi bilah-bilah atau helaian daun.

 

4.      Pelurut

·         Pelurut diperbuat dari buluh dan ukurannya adalah antara 17cm panjang dan empat hingga lima sentimeter lebar.

·         Pelurut digunakan bagi melembutkan bilah atau helaian daun yang telah dijangka ketika proses penyediaan pelurut.

·         Pelurut juga digunakan sebelum proses anyaman kerana bilah atau helaian daun yang telah diwarnakan perlu dilembutkan sekali lagi bagi memudahkan kerja-kerja anyaman dilakukan

 

5.      Penyisip

·         Penyisip diperbuat dari buluh dan mempunyai bentuk yang agak runcing di bahagian hujungnya

·         Penyisip digunakan ketika sisipan dilakukan di peringkat proses anyaman.

·         Tujuan sisipan dilakukan adalah untuk mengelakkan anyaman dari terburai

6.      Tempayan

·         Tempayan digunakan untuk merendam bilah atau helaian pandan/mengkuang

 

7.      Besen/baldi

·         Besen/baldi digunakan pada masa proses pewarnaan. Bilah atau helaian pandan dan mengkuang yang telah diwarnakan akan dicelup ke dalam besen/ baldi yang mengandungi air.

 

LANGKAH-LANGKAH UNTUK MEMULAKAN ANYAMAN TIKAR

 

PROSES PENYEDIAAN DAUN

1.      Pemilihan dan pemotongan daun

·         Daun yang dipilih mestilah tidak terlalu tua atau muda, sekurang-kurangnya berusia kurang dua tahun.

·         Daun dipotong di bahagian pangkalnya sehelai demi sehelai.

·         Waktu yang sesuai untuk mengambil daun ialah pada waktu pagi atau petang bagi mengelakkan daun dari cepat layu.

·         Daun ini kemudiaannya disusun berlapis-lapis, antara tiga hingga lima helai, dan dipotong di bahagian pangkal dan hujung daun. Selepas itu duri di bahagian tulang belakang(mempulur) daun dibuang.

 

2.      Melayur daun

·         Daun dilayur di atas bara api sehingga menjadi kekuning-kuningan. Proses ini dilakukan supaya daun menjadi lembut dan lebih tahan lama. Daun yang lembut akan memudahkan proses menjangka.

 

3.      Menjangka daun

·         Menjangka merupakan proses membelah/ mengoyak/ mencarikkan daun tersebut menjadi bilah-bilah atau helaian daun yang kecil.

·         Penggunaan alat ‘jangka’ diperlukan bagi proses ini. Daun diletakkan di atas peha yang telah dialas dan jangka bermata tajam dicucuk pada daun dan ditarik pelahan-lahan.

 

4.      Melurut

·         Daun yang telah dijangka akan dibiarkan selama lebih kurang satu jam supaya kering. Kemudian daun tersebut dilurut menggunakan ‘pelurut’.

·         Proses melurut dilakukan berulang kali supaya bilah atau helaian daun menjadi lembut dan tidak bergulung.

 

5.      Merendam

·         Selepas dilurut, bilah-bilah daun ini diikat atau ditongkolkan untuk direndam. Tongkol-tongkol direndam di dalam tempayan yang mengandungi air biasa selama dua malam. Air mesti ditukar sebanyak dua kali sehari.

·         Bilah-bilah pandan/mengkuang direndam untuk melunturkan warna asalnya (hijau). Ikatan tongkol ini kemudian dibuka untuk dicuci dan dijemur.